Friday, November 6, 2009

KELANTAN vs NEGERI SEMBILAN


Kerajaan Kelantan akan memasang skrin besar di dataran Stadium Sultan Muhammed ke-IV di Kota Bharu untuk memudahkan peminat bola sepak menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dengan Negeri Sembilan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata langkah itu bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai yang tidak berpeluang menyaksikan perlawanan di stadium berkenaan.

"Ini sebagai khidmat sosial kerajaan negeri dalam usaha memartabatkan sektor sukan dan mengembalikan zaman kegemilangan mutu bola sepak negeri ini sekitar tahun 1970-an dulu," katanya kepada Bernama hari ini.




Beliau berkata, antara 2,000 hingga 3,000 orang dapat menyaksikan perlawanan menerusi skrin di kawasan terbuka itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Fatah berkata kerajaan negeri akan menganjurkan temasya sukan secara besar-besaran membabitkan lebih 4,000 penyertaan atlet dari seluruh negara pada 13 dan 14 November depan.

Menurutnya lebih 100 jenis sukan yang digabungkan antara acara tradisional dan konvensional selama dua hari itu bertemakan 'Sukan Pengikat Ukhuwah'. BERNAMA

No comments:

Post a Comment