KUALA LUMPUR: Gara-gara taksub dengan ramalan kaji bintang, seorang wanita mahu menggugurkan kandungannya kerana percaya bayi itu bakal membawa nasib malang kepada keluarganya.
Akibatnya, rumah tangga wanita itu, seorang gadis Vietnam, Duong Rhi Ngoc Nhieu, 25, dengan lelaki tempatan Goh Ping Ming, 50, semakin berantakan kerana tindakannya itu dihalang suaminya.
Menurut Goh, dia tidak menyangka perkahwinan yang baru memasuki tiga bulan menjadi huru-hara kerana kepercayaan karut isterinya.
“Apabila gagal dengan perkahwinan pertama yang hanya bertahan lima tahun, saya mengambil keputusan mencari pasangan hidup baru menerusi agensi mencari jodoh kerana terlalu inginkan cahaya mata.
“Selepas setahun hidup kesunyian, akhirnya saya dipertemukan dengan seorang gadis oleh agensi terbabit dan kami mendaftar perkahwinan Januari lalu,” katanya yang bekerja sebagai pemborong ikan.
Goh berkata, meskipun wujud perbezaan umur yang begitu ketara, hubungan mereka berjalan dengan baik apatah lagi apabila isterinya disahkan mengandung.
Namun, kebahagiaan itu tidak bertahan lama gara-gara sikap isterinya yang mudah terpengaruh dengan kepercayaan karut.
“Pada mulanya saya menyangka ia gejala biasa wanita mengandung apabila dia menjadi pemarah, namun saya merasakan dia sudah melampau kerana tidak ingin melahirkan anak. Alasannya, ramalan horoskop Cina tahun ini tidak sesuai kerana kelahiran bayi itu boleh membawa sial kepada ahli keluarganya di Vietnam.
“Dia ingin menggugurkannya tapi saya bantah, jadi sejak itu, kami sering bertengkar,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini, semalam.
Menurut Goh, perasaan bimbangnya menjadi kenyataan apabila dia pulang ke rumahnya Taman Sunway Batu Caves dikejutkan dengan kehilangan isterinya itu pada Februari lalu.
“Saya sangka dia mungkin akan pulang selepas bertenang, namun tidak dan dia keluar membawa bersama pakaian serta barangan peribadinya. Saya yakin dia masih berada di negara ini kerana pasport tidak dibawanya,” katanya.
Goh membuat laporan di Balai Polis Selayang, Gombak.
No comments:
Post a Comment