Cicak besar kejutkan peniaga
SUNGAI PASIR - Selama ini seorang peniaga hanya mendengar perbualan rakan mengenai cicak besar atau 'tokek' yang dikatakan berbisa dan terkenal di Indonesia serta Sabah dan Sarawak hingga penduduknya berlumba-lumba memburu binatang pelik ini.
Namun peniaga terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Adi dan enggan gambarnya disiarkan terperanjat apabila mendapati perangkap tikus yang dipasangnya mengandungi binatang menyerupai cicak bersaiz besar, berwarna kelabu kehijauan dan berbintik-bintik jingga.
Menurutnya, sebelum ini setiap malam pekerja di premisnya mengadu mendengar bunyi pelik seakan-akan bunyi katak dan mendengar bunyi binatang menapak di dinding premis seolah-olah binatang terbabit bersaiz besar.
“Kami tidak pernah nampak atau terjumpa binatang itu dan hanya mendengar bunyinya sahaja hingga pada satu malam pekerja saya mengadu terlihat kelibat menyerupai anak biawak merayap di atas siling.
“Kami menyangkal anggapan bahawa kelibat binatang itu ialah anak biawak memandangkan ia melekat di siling seperti cicak dan bimbang binatang itu mendatangkan bahaya seperti menggigit atau sebagainya, jadi kami pasang perangkap tikus,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di premis perniagaannya di sini.
Adi berkata, pelbagai cara telah digunakan mereka untuk menarik perhatian cicak itu untuk keluar dari persembunyiannya namun tidak berhasil sehingga Ahad lepas apabila pekerjanya yang tinggal di premis berkenaan mendengar bunyi perangkap tikus terhempas.
Keesokan paginya apabila memeriksa perangkap tikus berkenaan, mereka terkejut apabila melihat cicak yang bersaiz besar dan mempunyai corak badan yang unik.
“Apabila ditimbang, berat tokek ini ialah 100 gram dan panjangnya kira-kira satu kaki dengan lebarnya lebih kurang tiga inci. Rakan-rakan terdekat yang mengetahui mengenai hal ini telah datang melihat dan ada yang mengatakan tokek ini menjadi buruan di Indonesia kerana boleh mengubati penyakit HIV positif.
“Setakat ini saya akan membela tokek ini sebelum mempertimbangkannya untuk menjual atau sebaliknya,” katanya.
No comments:
Post a Comment