TEHERAN - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam merasmikan pesawat pengebom tanpa juruterbang pertama negara itu yang digelar Duta Maut.
Menurut satu laporan sebuah stesen televisyen di negara itu, pesawat yang berukuran empat meter panjang itu mampu mengangkut empat buah peluru berpandu dan mempunyai jarak penerbangan sejauh 1,000 kilometer.
Namun jarak itu masih tidak mencukupi untuk tiba di negara musuh ketat Iran iaitu Israel.
"Pesawat itu juga merupakan Duta Maut untuk musuh-musuh kemanusiaan, membawa satu pesanan keamanan dan persahabatan," kata Mahmoud pada majlis perasmian Industri Pertahanan Iran yang juga hari kemerdekaan negara itu.
"Matlamat pesawat yang diberi nama Karrar itu adalah untuk memastikan musuh pertahanan dilumpuhkan," kata Mahmoud.
Menurutnya, pesawat itu dibina untuk pencegahan dan tujuan pertahanan Iran.
Presiden Iran itu turut memperjuangkan program ketenteraan dan menyatakan ia akan diteruskan sehingga musuh hilang harapan untuk menyerang Iran. - AP
No comments:
Post a Comment