Thursday, December 31, 2009

SU Akhbar Nik Aziz minta Berita Harian mohon maaf


KOTA BHARU, 30 Dis:
Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Saiba Yaacob meminta akhbar Berita Harian memohon maaf secara terbuka kerana menyiarkan kenyataan yang dianggap tidak tepat mengenai dirinya.

Malah katanya, wartawan akhbar berkenaan tidak pernah menemuinya sebelum menyiarkan kenyataan dianggap panjang lebar berkaitan dirinya.

“Beberapa laporan yang terdapat dalam akhbar berkenaan semalam bukan sahaja tidak betul, bahkan tidak pernah menghubungi saya untuk mendapatkan sebarang penjelasan.

“Laporan itu kata saya merancang untuk mengajar di Kias tak betul, nak melanjutkan pengajian di Kuis pun tak betul, sebaliknya saya akan menyambung pengajian di peringkat PhD di UM,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Akhbar terbabit semalam menyebut Mohd Saiba sudah lama merancang menjadi pensyarah di Kias sambil melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Kuis.

Laporan tersebut juga memberitahu beberapa pihak mempersoalkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakri Harun kerana gagal memberi nasihat yang betul kepada Menteri Besar.

Oleh yang demikian, Mohd Saiba memberi peluang akhbar berkenaan memohon maaf sebelum tindakan lanjut diambil memandangkan berita yang disiar tidak mendapat kebenarannya dan turut dilibat nama Anual Bakri.

“Jadi bagi membersihkan nama saya dengan laporan yang agak kurang manis, ada baiknya akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka sebelum tindakan lanjut diambil,” ujarnya.

Katanya begitu kecewa dan terkejut dengan laporan tersebut dengan memperincikan maklumat mengenainya.

Beliau juga berkata, ekoran laporan tersebut menyebabkan beliau bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

Katanya juga beliau mengambil keputusan tidak menyambungkan kontrak kerana ingin melanjutkan pengajiannya di peringkat PhD di Jabatan Syariah di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Siasah Syariah.

“Pada masa yang sama saya akan bertugas sebagai ahli akademi seperti jawatan asal sebelum ini di sebuah kolej di sini,” tambahnya.

Saiba sebelum ini pernah bertugas sebagai pembantu pensyarah di UM selama empat tahun sehingga 2000, kemudiannya mengajar di Kolej Darul Quran di Terengganu akhir 2000 hingga Januari 2002.

Selepas itu dilantik Setiausaha Akhbar Menteri Besar pada 3 Febuari 2002 dan berakhir Febuari 2010.

Beliau merupakan Setiausaha Akhbar yang keempat dan paling lama berkhidmat iaitu selama lapan tahun.

Semalam Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengesahkan kedua-dua setiausahanya itu akan tamat tempoh perkhidmatan, di mana Anual mohon berhenti dan Saiba tamat tempoh kontrak.

Sunday, December 27, 2009

Kaji semula keselamatan bas dua tingkat-Mahfuz

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR, 27 Dis: Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyarankan kerajaan mengkaji semula tahap keselamatan bas dua tingkat yang digunakan untuk perjalanan jarak jauh.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, setiap kali berlakunya kemalangan membabitkan bas ekspress dua tingkat, penumpang yang duduk di tingkat bawah selalunya menerima kesan yang teruk dan menyebabkan kehilangan nyawa.

"Kemalangan awal pagi semalam membabitkan bas dua tingkat dan boleh dikatakan setiap kali kemalangan berlaku, yang menerima kesan teruk ialah penumpang di bahagian bawah.

"Isunya adakah bas ekspress dua tingkat ini selamat digunakan di lebuh raya di Malaysia ini?Apakah ada jaminan dari segi tahap keselamatannya," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdalily pagi tadi.

Mahfuz turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan melibatkan bas dua tingkat milik Sani Express Sdn. Bhd. di KM 272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan awal pagi semalam.

"Saya ucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan awal pagi semalam, dan saya harap semoga keluarga mangsa bersabar dan redha menerima ujian ini," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok sena.

Berikutan kemalangan maut itu, Mahfuz menyarankan agar kerajaan membentuk satu Suruhanjaya Diraja yang diselia oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya malaysia (MIROS) dan dianggota pelbagai pihak yang berpengalaman dalam aspek keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam di peringkat antarabangsa.

"Saya cadang kepada kerajaan untuk bentuk satu Suruhanjaa Diraja untuk melihat soal sistem pengangkutan awam di negara ini termasuk infranstruktur jalan dan sebagainya.

"MIROS perlu diberi tanggungjawab untuk menjadi sekretariat kepada suruhanjaya ini untuk mengkaji dengan telus dan mendalam langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini.Malah ianya juga perlu dianggotai oleh agensi bukan kerajaan contohnya pihak pengusaha bas ekspress sendiri dan persatuan pengguna," katanya lagi.

Meskipun tidak menolak faktor pemandu memainkan peranan penting, namun ategas mahfuz, kerajaan juga harus mengkaji faktor lain terutamanya tahap keselamatan lebuhraya samaada menepati piawaian keselamatan antarabangsa atau tidak.

"Saya tidak menafikan kenyataan yang dibuat oleh pihak polis berasaskan kepada pengakuan pemandu bahawa dia terlelap ketika memandu.Kita tak boleh nafikan faktor manusia dari sudut pemandu itu tapi faktor lain dari sudut pembinaan infranstruktur lebuh raya harus dilihat secara menyeluruh.Adakah pembinaan lebuhraya utara selatan ini menepati piawaian keselamatan antarabangsa," tegasnya.

Mahfuz juga tidak bersetuju dengan cadangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) supaya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menggantung operasi semua bas milik syarikat Sani Express sementara menunggu siasatan selesai.

Hal ini katanya akan memberikan implikasi yang negatif kepada banyak pihak termasuk menjejaskan pendapatan pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

"saya tidak bersetuju untuk gantung permit semua bas ekpress Sani sebab (tindakan) ini akan beri implikasi yang lain.Melainkan permit bas itu digantung kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.Selagi ia mengikut peraturan, permit tidak harus digantung.

"Bila permit digantung,syarikat tidak ada sumber kewangan untuk membayar gaji pekerja-pekerja di semua bahagian. Ini sudah tentu menjejaskan pendapatan pekerja. Bagaimana mereka hendak menampung perbelanjaan keluarga, persekolahan anak-anak," ujarnya.

Apatah lagi katanya, bas yang mengalami kemalangan itu tidak mempunyai rekod buruk sebelum ini.

Beliau dalam pada itu menyambut baik tindakan syarikat Sani ekpress yang menyediakan pampasan kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tersbut bagi meringankan beban mereka.

"Saya setuju Syarikat Sani Ekspress bagi pampasan kepada keluarga mangsa. Bagi dilihat mereka bertangungjawab di atas kemalangan yang berlaku, syarikat berkenaan juga seharusnya membiayai kos pengebumian setiap mangsa itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Ghazali menyarankan syarikat-syarikat bas ekspress supaya lebih bertanggungjawab di atas kesediaan dan kebajikan pemandu-pemandu.

"Ini bagi memastikan mereka memandu dalam keadaan yang peka dan penuh tanggungjawab terhadap berpuluh-puluh nyawa pemumpang di tangan mereka," katanya dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas kepada Harakahdaily.

Dalam kejadian pukul 1 pagi semalam, 10 penumpang bas dua tingkat Sani Express maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Lebuhraya Utara-Selatan(PLUS) arah utara.

Monday, December 21, 2009

Susulan Kemenangan tipis BN isu Budget 2010.!

dsc025221Semalam kami mendapat perkabaran bahawa ada desas desus yang mengatakan bahawa Dato Seri Nizar tidak tersenarai dalam senarai MP-MP yang hadir dalam proses pengundian malam Isnin yang lalu.Sememangnya Dato Seri mempunyai jadual untuk bersama Rakyat malam itu di Hulu Langat akan tetapi Dato Seri telah membatalkan program tersebut untuk berada di Parlimen,ia telah disahkan sendiri oleh Pegawai Khas Beliau iaitu Sdr Amran Harun.

DS Nizar wajar dicontohi. Inilah bentuk kepimpinan yang wajar dicontohi oleh MP-MP yang lain.Walaupun memahami bahawa program bersama Rakyat itu sama pentingnya akan tetapi Beliau mengambil keputusan untuk hadir di Parlimen walaupun program malam itu telah dijadualkan sejak sebulan yang lalu.Beliau telah membatalkan jemputan program ‘makan malam’ bersama rakyat di Hulu Langat malam itu semata-mata kerana mahu hadir bagi proses pengundian.

Dibawah ini dikemaskini semula senarai MP-MP yang tidak hadir dalam Proses pengundian tersebut.

PAS
P008 Pokok Sena - PAS - Mahfuz Omar
P016 Baling - PAS - Taib Azamudden Md Taib
P057 Parit Buntar - PAS - Mujahid Yusof Rawa
P101 Hulu Langat - PAS - Che Rosli Che Mat

PKR
P052 Bayan Baru - PKR - Zahrain Mohamed Hashim
P058 Bagan Serai - PKR - Mohsin Fadzli Samsuri
P094 Hulu Selangor -PKR - Zainal Abidin Ahmad
P098 Gombak - PKR - Mohamed Azmin Ali
P109 Kapar - PKR - Manikavasagam Sundaram
P121 Pantai Dalam - PKR - Nurul Izzah Anwar
P124 Bandar Tun Razak - PKR - Abd Khalid Ibrahim

DAP
P043 Bagan - DAP - Lim Guan Eng
P046 Batu Kawan - DAP - P. Ramasamy
P049 Tanjong - DAP - Chow Kon Yeow
P050 Jelutong - DAP - Ooi Chuan Aun
P051 Bukit Gelugor - DAP - Karpal Singh
P103 Puchong - DAP - Gobind Singh Deo *
P122 Seputeh - DAP - Teresa Kok Suh Sim

Apa yang terjadi telah terjadi namun suka diingatkan kepada semua MP-MP yang ada agar mengambil iktibar berhubung soal ini.Ini bukan merupakan soal masa depan negara dihari pilihanraya akan tetapi ia merupakan masa depan Rakyat yang dambakan perubahan.Mungkin apa yang terjadi adalah di atas kelemahan kita dan kita menerima ia sebagai satu ketentuan akan tetapi bagi yang telahpun menghampakan RAKYAT,maka beringatlah kerana RAKYAT Mahukan Perubahan bukan Kesilapan…!


Sunday, December 20, 2009

Ajal Zambry hampir sampaiiiii.....

Zambri bakal kecundang di Lumut...

Semalam masa teman menghadiri majlis perkahwinan anak YB Wan di Dewan Centrum, Taman Setiawangsa, teman telah diperkenalkan oleh YB Wan dengan calun PAS yang bakal menentang Zambri MB Dpulau...

Seorang CDR (R) Mohd xxxxx Yxxxx. Hebat dan kacak orangnya. Berpangkat specialist dalam dunia akademik.

Menurut Pak Wan...sudah jadi aktivis PAS sejak dalam servis lagi.

Khabonye...kalu dia bertanding menentang Zambri, 80% undi pos akan pergi kepada beliau dan YB Pak Wan sendiri akan berkempen di Lumut.

Nampaknya hayat politik Zambri semakin pendek....tak pa...restoran mamak kat Bukit Indah ghasenye masih boleh terima beliau. Ramai yang kaki lepak waktu maghrib dan isya' mesti seronok tunggu mamat ni...

copy dari http://3.bp.blogspot.com


Thursday, December 3, 2009

Himpunan sokong kepimpinan Nik Aziz esok

KOTA BHARU, 3 Dis: Penerangan PAS Kelantan menyeru orang ramai hadir pada program himpunan menyokong kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang bakal diadakan esok, 4 Disember.

Program berkenaan dijangka bermula pukul 10.20 pagi sejurus selepas kuliah Jumaat, di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati, di sini (perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Negeri).

Ketua Penerangan PAS Negeri, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah, ketika memberitahu media semalam berkata himpunan berkenaan diadakan bagi menyokong kepimpinan Tuan Guru sebagai Menteri Besar yang tidak berbelah bagi.

“Memandangkan kini ada pihak yang mendesak Tuan Guru supaya melepaskan jawatannya, sebaliknya pula kita akan mempertahankan Tuan Guru agar tidak berbuat demikian.

“Kita akan menganjurkan program ini semata-mata untuk menyatakan sokongan kita terhadap kepimpinan Tuan Guru,”ujarnya.

Sambungnya, tidak ada sebab Tuan Guru harus melepaskan jawatannya memandangkan kepimpinan beliau masih diperlukan disamping ketokohannya yang sukar dicari ganti.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai hadir untuk menyatakan pendirian berkenaan pada program yang dianjurkan Badan Perhubungan PAS Negeri itu.

“Pada mereka yang mengikuti kuliah Jumaat Tuan Guru, kita minta mereka menunggu untuk seketika bagi menjayakan program tersebut,”ujarnya.

Sebelum ini, kumpulan yang dikenali sebagai Jemaah Perihatin Rakyat Kelantan yang turut disertai pemimpin Umno Bahagian Pasir Mas diketuai ketuanya, Che Johan Che Pa, telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar supaya meletakkan jawatannya.

Bagaimanapun perhimpunan tersebut dianggap gagal apabila impian Umno menghimpunkan 2,000 penyokong hanya disertai kira-kira 100 orang sahaja.

Biar pun media harian kelihatan sepakat melaporkan lebih 1,000 orang hadir pada perhimpunan di depan Kota Darulnaim, namun ia tidak mampu memperbodohkan orang ramai yang menyaksikan ‘drama’ tersebut.

Semalam, Dewan Pemuda PAS negeri, telah menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Tuan Guru dalam sidang mereka tersebut yang diketuai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Baihaqi.

Pada masa yang sama, Naib Ketuanya, Hisyam Fauzi, mengucapkan terima kasih kepada kepada pasukan keselamatan terutama Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi yang turut turun padang meninjau perkembangan di hari perhimpunan berkenaan diadakan.

Menurut Hisyam, tekanan yang diberikan begitu kuat terhadap kepimpinan Kelantan, terutama pada Tuan Guru adalah untuk mengalihkan isu kerisis kepimpinan dalam Barisan Nasional (BA) terutama Umno dan MCA.

“Kerana integriti Tuan Guru yang tersenarai diantara 42 dari 500 orang pemimpin Islam di peringkat dunia juga menyebabkan mereka cemburu, kerana itu menciptakan pelbagai isu untuk memburukkan imejnya,”ujarnya.