|
KOTA BHARU, 15 Mei: Biar pun tinggal beberapa jam lagi lebih 54,000 pengundi di Sibu akan membuang undi, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan mereka jangan lupa mengundi calon DAP.
"Saya minta semua pengundi undi calon DAP. Ini kerana DAP sekarang berada bersama PAS dan KeADILan dalam Pakatan Rakyat. "Orang PAS dari seluruh negara datang membantu kempen di Sibu biar pun habis duit dan tenaga tak apa asalkan dapat berkhidmat kepada Islam. "Jadi saya minta rakyat Sarawak di Sibu tolong undi calon Pakatan iaitu DAP. Di mana sahaja ada calon PAS, undi PAS. Kalau tidak ada calon PAS undi calon PKR, dan kalau tidak ada calon PKR undi DAP," katanya di sini. Pertarungan akhir mempertahankan parlimen Sibu menyaksikan hampir seluruh menteri turun berkempen termasuk di rumah panjang dan kampung Melayu dan Melanau. Mereka membawa bersama janji-janji pembangunan yang ditabur ke seluruh pelusuk bumi Sibu. Berdasar kepada gerak kerja tersebut kelihatan Umno dan Barisan Nasional (BN) berdepan suasana sukar untuk mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal ke enam. Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, perubahan yang ketara berlaku kepada kepemimpinan DAP sekarang di mana mereka lebih terbuka dan bersikap intelektual. Menurutnya dahulu DAP tidak mahu mendampingi PAS kerana perjuangan Islam yang dibawa, namun sekarang mereka sudah faham. "Sekarang pemimpin PAS dan DAP boleh berceramah bersama. Ketika ceramah saya sebut tentang Islam dari aspek ekonomi, sosial dan semua sudut kehidupan berpaksikan Islam. "Dan alhamdulillah mereka terima. Apa sahaja perkara yang tidak faham mereka tanya kami. Pemimpin DAP sekarang kebanyakan intelektual, berpelajaran dan berfikiran terbuka. Sekarang ramai pemimpin DAP sebut Assamualaikum," katanya. Kata beliau situasi itu berlaku sebagaimana Nabi Muhammad saw pernah meminta orang Yahudi berkerjasama dengan orang Islam di Madinah. Kalau ada musuh yang menentang Yahudi Nabi Muhammad saw akan membantu Yahudi. Dan kalau ada musuh menentang Islam di Madinah Nabi Muhammad meminta Yahudi datang membantu. Beliau menjelaskan dahulu DAP menentang kerjasama dengan PAS kerana mereka tidak faham Islam. Kata beliau usahkan DAP, Melayu Umno pun marah kepada PAS kerana memperjuangkan Islam sehingga didakwa boleh menimbulkan pecah belah dan tiada kemajuan. Menurutnya pemimpin DAP sekarang mendengar sendiri mengenai Islam daripada pemimpin PAS dan tidak lagi terpengaruh tindakan pemimpin Umno memburukkan Islam. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Islam memberi kebebasan kepada penganut agama lain mengamalkan ajaran mereka. "Kita hanya terang tentang agama Islam dan kalau mereka tidak mahu terima itu hak mereka. Saya juga banyak menerima kunjungan paderi dan sami datang ke pejabat. "Malah saya pergi kepada wat Buddha di Tumpat. Saya sebut Tuhan hanya satu ialah Allah. Semua agama melarang perbuatan mungkar seperti judi, zina dan rogol. "Ini sudah menggambarkan ada titik pertemuan di antara kami dengan agama lain," ujarnya. Beliau menyifatkan kejayaan besar hasil dakwah di Kelantan apabila orang bukan Islam tidak lagi marah kepada PAS. |
Saturday, May 15, 2010
"Jangan lupa undi DAP"-Nik Aziz
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment