Friday, May 21, 2010

Tunggu dan lihat ..... sampai bila ia mampu bertahan...

Kubur dijaga bergilir-gilir


REMBAU: Kubur Allahyarham pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya di Kampung Pilin, dijaga secara bergilir-gilir oleh pengikutnya bagi mengelak dijadikan tempat amalan khurafat termasuk pemujaan.

Seorang pengikut Asaari berusia lingkungan 40-an yang enggan dikenali berkata, dia bersama beberapa pengikut menjaga kubur itu secara bergilir-gilir demi keselamatan.


“Kami tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan melakukan sesuatu yang tidak elok di kubur ini.


“Kubur ini akan dijaga sepanjang masa kerana kami tidak mahu ada pihak cuba melakukan perkara khurafat seperti pemujaan dan sebagainya kerana Abuya seorang lelaki yang soleh dan dikenali ramai,” katanya, semalam.


Menurutnya, dia hanya menjadi sukarelawan di situ dan belum dapat menentukan sampai bila akan menjaga kubur berkenaan.


Ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai pengikut kumpulan itu yang mempercayai Abuya hanya ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat, lelaki itu berkata dia tidak percaya berlaku perkara sedemikian kerana ia jelas salah di sisi agama.


Tinjauan mendapati sebuah khemah ditempatkan di kubur yang berada di atas bukit itu dan masih terdapat saudara mara dan pengikut yang datang dari jauh melawat kubur berkenaan setiap hari.


Difahamkan, pada setiap malam kawasan itu akan menjadi terang berikutan kumpulan pengikut Allahyarham yang menjaga kubur berkenaan memasang lampu.


Akhbar semalam melaporkan, pengikut Abuya kembali mencetuskan kontroversi apabila mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya bekas pemimpin kumpulan Al-Arqam yang diharamkan itu cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment