Wednesday, August 4, 2010

Nyaris jual anak demi sesuap nasi



GEORGETOWN - Seorang ibu tujuh anak pernah terfikir untuk menjual anak bongsu kerana kesempitan hidup, apatah lagi sering mendengar anak-anak menangis kelaparan.

Namun, apa daya kerana dia tiada berwang untuk membeli makanan jauh sekali memberi keselesaan kepada mereka.

Tajenisha Bheevi Sirajidin, 35, mempunyai lima anak hasil perkahwinan pertamanya, manakala dengan suaminya sekarang, mereka dikurniakan dua anak. Malangnya, suaminya kini merengkuk dalam penjara menjadikan kehidupan Tajenisha makin melarat.

Menurutnya, tekanan yang dialaminya bertambah berat apabila tuan rumah memberikan tempoh dua minggu untuk dia menjelaskan tunggakan tiga bulan sewa rumah yang mencecah RM1,200.

“Saya tak tahu apa akan jadi jika saya tidak dapat membayar jumlah itu dalam tempoh dua minggu ini, mungkin nasib kami lebih buruk dengan merempat di tepi jalan kerana tiada tempat berteduh. Saya buntu sekarang kerana tak tahu kepada siapa saya perlu minta bantuan.

“Bukan saya tidak mahu bekerja, tapi siapa nak jaga anak saya bila saya ke tempat kerja? Kalau saya nak hantar ke tempat jagaan, saya tidak mampu. Memang saya tersepit sekarang,” katanya kepada media, di rumahnya di Lintang Batu Lanchang, di sini, baru-baru ini.

Tajenisha berkata, sejak tiga hari lalu, dia hanya memberikan air suam bercampur gula kepada anak bongsunya untuk menggantikan susu, manakala anak-anak lain hanya menjamah bubur.

“Selama mana saya nak meminta kepada jiran-jiran, mereka juga ada tanggungjawab lain. Pernah saya terfikir untuk menjual anak bongsu yang berusia satu setengah bulan untuk mendapatkan wang dan membeli makanan kepada anak yang lain namun saya batalkan niat itu demi kasih sayang saya kepada anak-anak saya.

“Anak sulung saya berusia 18 tahun tinggal bersama suami pertama, manakala yang lain tinggal bersama saya, berumur 16 hingga satu bulan setengah. Apa yang saya terkilan, hanya anak ketiga dan keempat sahaja masih melanjutkan pelajaran di Sekolah Rendah Kebangsaan Jelutong selebihnya tidak bersekolah kerana kesempitan wang. Yang bersekolah pun sebab dapat biasiswa, kalau tidak mungkin mereka juga tidak dapat ke sekolah.

“Anak kedua saya kini terpaksa bekerja di gerai roti canai sebagai pembantu gerai dengan gaji RM9 setiap hari mengikut keadaan kerana anak saya bukan pekerja tetap di situ,” katanya.

Tajenisha berkata, dia sudah beberapa kali berulang-alik ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan beban keluarga sejak Januari lalu.

“Namun, sudah enam bulan, mereka tidak memberi apa-apa maklum balas terhadap nasib keluarga saya, malah mereka hanya memberikan jawapan yang sama iaitu menyuruh saya menunggu.

"Berapa lama saya nak tunggu, kini tuan rumah telah memberi masa dua minggu bagi mengosongkan rumah jika tidak melangsaikan sewa," katanya.

Sementara itu, mereka yang berhasrat menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga ini boleh menghubungi Tajenisha di talian 016-4715994 atau P Murugiah (016-4449246) dari Persatuan Malaysia Hindu Sangam Pulau Pinang ataupun kirim cek atas nama Tajenisha Beevi Sirajidin ke alamat Hon- Secretary Hindu Sangam, Tingkat Satu, 10-A, King Street, 10200 Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment