Padah belok tiba-tiba
PEKAN GURNEY – Hasrat suami isteri untuk pulang ke rumah tidak kesampaian apabila salah seorang daripada mereka maut setelah motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dengan sebuah kereta dalam satu kemalangan di Simpang Dua, di sini, petang kelmarin.
Kemalangan kira-kira jam 6.30 petang itu meragut nyawa Ong Nguh Ing, 66, manakala suaminya, Lau Hong Hua, 72, mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan tangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Shaharudin Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi pasangan berkenaan dari arah Pekan Gurney ke Simpang Dua, membelok secara tiba-tiba.
Menurutnya, sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang lelaki Cina berusia 23 tahun dari arah Simpang Dua ke Pekan Gurney tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motosikal itu.
“Rempuhan itu mengakibatkan penunggang dan pembonceng tercampak ke tepi jalan yang menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk mendapatkan rawatan.
“Manakala pemandu kereta yang berasal dari Ayer Tawar itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Shaharudin berkata, mangsa yang maut mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di wad kecemasan kira-kira jam 8.30 malam, manakala suaminya, masih menerima rawatan di HSM serta difahamkan keadaannya stabil.
Katanya, mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
“Polis akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Pihak kami akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
No comments:
Post a Comment