KERETA Aston Martin unik yang direka khas untuk ejen perisikan 007, James Bond memiliki kelas tersendiri. Sukar mengkelaskan statusnya, sama ada umpama satu mainan ataupun kenangan unik genre filem itu.
Kereta sport ikon, DB5 ini dipandu aktor Sean Connery yang melakonkan watak ejen 007 dalam filem Goldfinger dan ia sama seperti kereta yang dipandu Bond ke kelab golf untuk bermain dengan Goldfinger.
Apapun, kereta inilah yang dipandu Bond ketika bersaing dengan kereta Mustang dipandu watak Tilly Masterson di pergunungan Alps.
Dua kereta dihasilkan untuk penggambaran filem 1964 itu, tapi satu daripadanya dilapor lenyap tanpa berita.
Dalam erti kata lain, kereta yang bakal dilelong ini adalah satu-satunya kereta yang beraksi dalam filem Goldfinger dan juga dalam filem Thunderball setahun kemudian.
Buat kali pertama, DB5 dilengkapi pelbagai gajet khas yang memikat ramai peminat Bond dibuka untuk dimiliki umum.
Tidak hairan jika rumah lelong menganggarkan ia mungkin dibeli dengan harga £4 juta (RM19 juta).
Dalam filem, kereta ini dilengkapi gajet seperti mesingan, penghadang peluru dan juga nombor plet yang boleh ditukar.
Meskipun semua gajet dan butang di tempat duduk itu wujud, mesingan dipasang bukan yang tulen dan penghadang tidak dapat menangkis peluru hidup.
Kerusi pelenting yang diaktifkan butang di tuil gear juga didakwa tidak beroperasi.
Kereta yang mampu mencecah kelajuan 232 kilometer sejam (kmj) dan 96 kmj dalam tempoh hanya 7.1 saat ini dibeli daripada Aston Martin pada 1969 oleh DJ radio, Jerry Lee dengan harga hanya AS$12,000 (RM39,500).
Kereta yang memiliki nombor plet FMP 7B ini masih elok enjinnya dan hanya dipandu sejauh 48,000 kilometer.
Lee kini berusia 70-an dan kerap memandu kereta ini pada era 1970-an tapi sudah lama menyimpannya di setor.
Beliau akan menjualnya di London dan hasil jualan akan didermakan kepada pertubuhan kebajikan yang membantu menyelesaikan masalah sosial.
Jurucakap pusat lelong RM Auctions, Peter Haynes, berkata kereta itu boleh dipandu di jalan raya.
“Mesingan tidak boleh digunakan tapi anda boleh menekan butang dan melihat ia keluar ke kedudukannya,” katanya.
Kereta itu dijual kepada Lee selepas ia digunakan dalam filem Thunderball.
“Lee adalah pemilik tunggal kereta ini sejak detik itu. Beliau terpaksa memujuk Aston Martin untuk menjual kereta ini kepadanya dan mereka akhirnya memenuhi permintaannya itu dengan syarat boleh menggunakan kereta itu untuk aktiviti promosi pada bila-bila masa.
“Kereta ini dilihat kali terakhir di tempat umum pada 1970-an kerana selepas itu ia disimpan di setor bertemakan Bond.” Beliau turut memberi jaminan enjin kereta dan juga seluruh gajetnya masih beroperasi.
“Anda boleh gunakan penyembur asap dan minyak, nombor plet boleh ubah dan juga mengaktifkan penghadang kalis peluru di belakang,” katanya.
Upacara lelong dijadual berlangsung 27 Oktober dan Haynes menjangka ramai pembida seluruh dunia tertumpu pada kereta itu.
“Jika kereta biasa, kami pasti ramai peminat kereta klasik akan berminat memiliki kereta ini. Namun, dengan tema 007, ramai hartawan yang mengumpul koleksi selebriti terkenal seperti gitar Jimi Hendrix dan pakaian Marilyn Monroe pasti berminat memilikinya,” katanya.
Kereta itu dibaik pulih baru-baru ini bagi memastikan enjinya beroperasi dengan lancar.
“Kereta James Bond ini memberi kepuasan luar biasa buat saya sejak 40 tahun lalu. Walaupun saya menjualnya, kereta ini tetap memberi saya kepuasan kerana saya tahu hasil lelongan ini bakal dibawa yayasan yang bakal membawa kebaikan di seluruh dunia,” kata Lee yang menetap di Philadelphia, Pennsylvania.
No comments:
Post a Comment